Harga ayam turun, bekalan berkurang

Harga ayam turun, bekalan berkurang

PANGKIN jualan ayam di Pasar Awam Melaka, Melaka yang kosong kerana kekurangan bekalan akibat penurunan harga ayam standard. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Peniaga ayam segar di Pasar Awam Melaka di sini terpaksa menyorokkan barang jualan di bawah meja bagi mengehadkan pembelian, susulan jumlah bekalan didakwa susut sehingga 50 peratus.

Pengurangan jumlah bekalan itu secara tidak langsung dikaitkan dengan keputusan kerajaan menurunkan harga ayam standard kepada RM8.90 sekilogram yang berkuat kuasa hari ini. 

Seorang peniaga, Hamzah Othman, 57, berkata, dia terkejut apabila bekalan ayam yang diterima daripada pemborong hanyalah 100 ekor, berbanding lebih 300 ekor pada kebiasaan. 

“Saya telah berniaga lebih 40 tahun dan ini pertama kali berlaku dalam musim perayaan (Tahun Baharu Cina), bekalan ayam diterima daripada pemborong hanya 100 ekor sahaja. 

“Pukul 9 pagi tadi ayam sudah habis dijual, ramai pengguna yang kecewa tidak dapat beli kerana kebiasaannya pukul 12 tengah hari bekalan masih ada untuk mereka,” katanya ketika ditemui pemberita.

Katanya, dia juga terpaksa menyorokkan ayam di bawah meja bagi mengehadkan pembelian kepada pengguna, terutama peniaga kedai makan bagi memastikan pelanggan lain dapat membeli.

“Barang (ayam) pun kita tak berani nak letak dekat pangkin, mana peniaga yang selalu beli 10 ekor kita hadkan kepada lima ekor sahaja, terpaksa buat begitu,” katanya. 

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohd. Noriwan Mohd. Ali, 43, turut meluahkan rasa buntu mengenai bekalan ayam yang tiba-tiba susut selepas kerajaan menurunkan harga standard.

“Selalu ayam banyak, pagi ini pukul 9 dah habis, saya pun tak pasti kenapa jadi macam ini. Bila harga ayam murah bekalan pula tidak cukup, saya minta kerajaan bincang dahulu dengan pembekal sebelum buat keputusan, kalau mereka dapat berikan bekalan secara konsisten, barulah boleh turun harga,” katanya. 

Dalam pada itu, pemborong ayam, Ke Jok Kwee, 60, berkata, dia terpaksa mencatu bekalan ayam yang dipasarkan kepada peniaga di situ susulan bekalan diterima daripada pembekal di Serkam berkurangan kira-kira 35 peratus. 

“Selalunya kalau hujung minggu pembekal akan hantar 3,000 ekor, tapi hari ini saya cuma dapat kira-kira 2,000 ekor sahaja. Kali pertama berlaku kes ini, pembekal beri alasan bekalan ayam kurang kerana kos penternakan semakin meningkat, namun kerajaan terus menurunkan harga daripada RM9.50 sehingga kini RM8.90 sekilogram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN