KLUANG: Gara-gara membuat bising, seorang lelaki yang mempunyai rekod rawatan mental di Hospital Permai, lebam di kedua tangan dan kaki akibat dipukul sekumpulan remaja dalam kawasan kebun kelapa sawit di Layang-layang, di sini pada 3 Februari lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa berusia lewat 20-an itu dipukul tujuh lelaki warga tempatan berusia lingkungan 16 hingga 18 tahun.
Katanya, berikutan kejadian itu, abang mangsa membuat laporan polis yang kemudiannya membawa kepada penahanan kesemua suspek di sekitar daerah itu kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki warga tempatan menyatakan adik lelakinya telah dipukul oleh sekumpulan lelaki.
“Video kejadian yang berdurasi 14 saat telah dikesan tular dalam laman Facebook milik warga tempatan. Suspek ditahan dan polis merampas beberapa buah telefon bimbit untuk siasatan Ianjut.
“Semua tangkapan ditahan reman selama empat hari mulai hari ini hingga Jumaat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Razak berkata, tiada unsur gangsterisme dalam kes berkenaan dan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun, atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua seksaan tersebut.
“Polis Daerah Kluang akan terus komited memerangi kegiatan jenayah dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta menyalurkan maklumat jika berlaku kejadian jenayah di talian 07-7784222,” katanya. – UTUSAN