KEHADIRANNYA masih terlalu baharu dalam bidang seni ini.
Namun, ada sesuatu yang ingin diraihnya saat mula memberanikan diri untuk menjengah bidang glamor yang tentunya penuh dengan persaingan ini.
Menerusi single berjudul Ceritaku, anak kelahiran Pulau Langkawi, Kedah, Farah Rose, bagaimanapun begitu nekad mahu mengotakan satu daripada impiannya yang sudah lama disimpan sejak dari kecil.
Tentu sahaja akan terbit pertanyaan di benak kebanyakan orang, mengapa nyanyian yang menjadi pilihan Farah Rose?
Bukan apa. Apabila diintai latar belakang dirinya, wanita berusia 22 tahun ini bukan calang-calang.
Bak kata pepatah, kecil-kecil cili padi. Siapa sangka wanita bertubuh genit ini sebenarnya merupakan seorang juruterbang.
Baru menamatkan pengajian di HM Aerospace Langkawi, Disember lalu, bakat Farah Rose telah dikesan oleh komposer terkenal, Eddie Hamid selepas menyaksikan Farah membuat persembahan di sebuah acara, kurang lebih empat tahun lalu.
Menurut Farah, dia sudah melengkapkan 200 jam penerbangan dan kini mahu memberi tumpuan kepada karier seni sementara menanti industri penerbangan pulih akibat pandemik COVID-19.
Malah, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi, Kedah itu turut menyatakan kesanggupannya untuk berhijrah ke ibu negara demi meneruskan impian bergelar penyanyi.
“Bagi saya, tiada masalah untuk membahagikan masa antara bidang nyanyian dan kerjaya sebagai juruterbang. Bekerja sebagai juruterbang juga tidaklah terlalu sibuk.
“Saya lihat abang yang juga merupakan seorang juruterbang bekerja tiga hari dan diberi kelepasan beberapa hari oleh majikan. Jadi, saya fikir, masa terluang itu dapat saya penuhi untuk karier nyanyian.
“Sudah lama hasrat ini dipendam. Baru sekarang saya rasa yakin dan berani untuk melangkah ke satu bidang ini. Insya-Allah, jika memerlukan saya berhijrah ke Kuala Lumpur demi kerjaya seni. Lagipun, saya ada kakak yang menetap di ibu negara,” katanya.
Ditanya apa yang mendorong minatnya menjadi juruterbang, Farah yang mempunyai tiga lagi adik-beradik bergelar juruterbang memberitahu, minat timbul apabila sering mengikut keluarga bercuti ke luar negara, sejak kecil lagi.
Melihat tidak ramai wanita bergelar juruterbang, Farah memasang impian menjadi juruterbang seperti adik-beradik lain.
Susah sebenarnya merakam sebuah lagu
Bercerita lanjut, bidang nyanyian bukanlah asing buat anak bongsu daripada lima beradik ini.
Ini kerana sejak berusia 10 tahun, Farah Rose sering sahaja menyertai pertandingan nyanyian dan memenuhi undangan persembahan.
Farah pernah menjuarai Bintang Kecil Radio Langkawi pada 2010 dan 2011 serta meraih tempat ketiga pada acara Bintang Kecil Zon Utara pada 2011.
Hendak dijadikan cerita, sekitar tahun 2018, Farah berpeluang bertemu komposer Eddie Hamid, sekali gus merealisasikan impiannya.
“Saya minat bidang nyanyian tetapi tidak tahu bagaimana hendak memulakan karier sebagai penyanyi sehinggalah bertemu Eddie.
“Dia kemudian menawarkan saya merakamkan lagu Ceritaku. Namun, disebabkan saya perlu menyambung pengajian untuk mendapatkan lesen juruterbang, hasrat melancarkan single pertama terpaksa ditangguhkan.
“Akhirnya, pada 2020, barulah kami sempat menghasilkan video muzik single itu. Namun, disebabkan pandemik Covid-19, sekali lagi hasrat melancarkan lagu Ceritaku ditangguhkan,” katanya.
EMOSI, BERI JIWA
Berkongsi pengalaman merakamkan single itu Farah berkata, bukan mudah menyiapkan sebuah lagu balada dengan proses rakaman yang mengambil masa enam jam.
“Memang susah. Tambahan pula ini adalah pengalaman kali pertama saya. Ketika merakamkannya, barulah saya tahu setiap baris dan bait lirik perlu ada suntikan emosi, kena beri jiwa.
“Selain itu, saya perlu ada cara tersendiri dalam menyanyi. Saya tidak boleh terikut atau meniru cara penyanyi lain. Jadi, perlu ambil masa untuk hayati lagu. Tetapi saya bersyukur kerana Eddie banyak memberikan tunjuk ajar dan memudahkan cara,” katanya.
Malah tuah pula seakan melingkari perjalanan seninya apabila dikhabarkan Ceritaku telah dipilih menjadi antara lagu tema drama bersiri Honeymoon yang bakal ditayangkan slot Dahlia, TV3, pada Mac depan.
Bersyukur kerana perjalanan seninya direstui keluarga, Farah yang meminati Ernie Zakri juga tidak kisah jika perlu mengambil masa yang lama untuk dikenali.
Malah, Farah tidak gentar atau mahu bersaing dengan artis baharu kerana niatnya menjadi penyanyi sekadar mewarnai dunia seni.
Selain Ernie, gadis yang pernah menyertai uji bakat program realiti, Mentor ini mengagumi penyanyi dan komposer, Haqiem Rusli.
“Kalau ada rezeki, saya nak bekerjasama dengan Haqiem. Saya kagum dengan bakat yang ada pada komposer dan penyanyi muda tersebut.
“Dia bukan sahaja penyanyi yang bagus, malah mampu mencipta lagu yang berkualiti,” katanya.











