JOHOR BAHRU: Enam ‘pelombong’ bitcoin ditahan dalam beberapa serbuan yang dijalankan polis Johor di sekitar bandar raya ini antara 6 hingga 8 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita berusia antara 40 hingga 52 tahun.
Jelasnya, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor serta Unit Seal, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Zon Selatan.
“Menerusi serbuan itu, sebanyak 250 unit mesin melombong bitcoin dari tiga premis berasingan dirampas melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM375,000.
“Dengan tertangkapnya enam individu itu, kita percaya telah menumpaskan satu sindiket mencuri arus elektrik yang telah beroperasi sejak awal tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah beliau, sindiket berkenaan menyebabkan TNB mengalami kerugian bekalan elektrik bernilai kira-kira RM390,582.
“Kegiatan mengubah suai pendawaian elektrik ini boleh mengakibatkan banyak masalah berlaku seperti kebakaran, kerosakan atau pun gangguan arus elektrik ke atas premis berdekatan,” jelasnya.
Tambah Kamarul Zaman, kesemua suspek dikenakan tahan reman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, TNB turut mengambil tindakan di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 ke atas pemilik akaun berdaftar. – UTUSAN