PETALING JAYA: Mengenakan bayaran RM1,800 terhadap setiap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mahu menyusup masuk ke Malaysia.
Itu nilai tiket yang dikenakan sindiket penyeludupan didalangi tekong dikenali sebagai ‘Saprel’ yang dibongkar Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi Op Pintas di perairan Tanjung Karang di Kuala Selangor semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 6 pagi itu, sebanyak 44 migran warga Indonesia yang terdiri daripada 39 lelaki dan lima wanita ditahan.
Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, operasi tersebut kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang.
Menurut beliau, turut ditahan tiga pembantu ‘Saprel’ iaitu warga Indonesia berusia lingkungan 32 hingga 52 tahun.
“Kesemua warga Indonesia terbabit ditahan hasil maklumat dan risikan D3 bersama PPM Wilayah 1 Pelabuhan Klang sebelum berjaya mengesan cubaan sebuah bot pom-pom yang dipercayai datang dari Tanjung Balai, Indonesia menuju ke Kuala Selangor.
“Pemeriksaan mendapati terdapat elemen penyeludupan migran yang menggunakan laluan tidak diwartakan (jalan laut),” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Fadil berkata, siasatan mendapati tekong dan pembantu tekong ini aktif menguruskan migran keluar dan masuk Malaysia sejak sebulan lalu.
Ujar beliau, soal siasat awal terhadap migran, mereka dikenakan bayaran 6 juta rupiah (RM1,800) untuk masuk ke Malaysia dan jumlah itu dibayar kepada ejen di Tanjung Balai, Indonesia.
“Semua tangkapan, migran serta rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.- UTUSAN ONLINE