‘Ekonomi 2021 lebih kecil dibanding tahun terakhir PH’

‘Ekonomi 2021 lebih kecil dibanding tahun terakhir PH’

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang dicatatkan pada 2021 menunjukkan ekonomi negara ini lebih kecil berbanding tahun terakhir Pakatan Harapan (PH) mentadbir iaitu pada 2019.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, ini berikutan prestasi KDNK yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus itu adalah mengecewakan berbanding unjuran sebelum ini yang terlalu optimistik oleh pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga 7.5 peratus.

Malah, katanya, perkara itu turut diperakui apabila Jabatan Perangkaan (DOSM) menyatakan prestasi ekonomi pada 2021 itu masih di bawah paras prapandemik pada 2019. 

“Dengan tidak dapat membalikkan penguncupan 5.6 peratus pada 2020, ekonomi Malaysia masih lebih kecil pada 2021 berbanding 2019, tahun terakhir PH memegang kuasa.

“PH dan DAP telah cuba membantu rakyat dan perniagaan terutama peniaga kecil dan sederhana (PKS) dengan memaksa kerajaan  bersetuju dengan tambahan suntikan dana RM45 bilion dan pengecualian faedah tiga bulan untuk 50 peratus penduduk terbawah dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

“Bantuan yang diterima oleh rakyat dan perniagaan sekarang adalah hasil daripada MOU ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Menurut ahli Parlimen Bagan itu, bagi mengelak tahun 2022 menjadi satu lagi tahun yang hilang kerana sasaran ekonomi yang tersasar, Perdana Menteri harus melakukan reformasi institusi. 

Katanya, reformasi yang mana dapat menyelesaikan kekurangan pekerja dihadapi oleh banyak perniagaan. 

“Melalui insentif bulanan penawaran gaji dan pengambilan pekerja, mengawal kenaikan inflasi, harga makanan, komoditi dan bahan terutama membatalkan kenaikan tarif elektrik untuk 1.6 juta perniagaan dan industri. 

“Selain itu, memerangi rasuah dan mengurangkan kerenah birokrasi serta ketidakcekapan,” jelasnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN