Ditipu kenalan rakan di Telegram, pegawai JPJ hilang RM8,400 - Utusan Malaysia

Ditipu kenalan rakan di Telegram, pegawai JPJ hilang RM8,400

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Niat seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghulurkan bantuan memakan diri sendiri selepas kerugian RM8,400 dipercayai ditipu suspek yang menyamar sebagai kenalan rakannya.

Mangsa berusia 39 tahun itu dihubungi suspek melalui aplikasi Telegram, ketika berada di rumahnya di Muadzam Shah, Rompin, dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek meminta mangsa memindahkan sejumlah wang dengan alasan akaun bank miliknya mengalami masalah.

Menurutnya, mangsa melakukan lima pemindahan wang ke nombor akaun diberikan suspek.

“Kejadian berlaku apabila mangsa menerima pesanan daripada suspek kira-kira pukul 2 pagi dan tanpa rasa syak melakukan pemindahan wang seperti diminta. 

“Pindahan wang pertama berjumlah RM2,500 dilakukan sekitar pukul 2.24 pagi dan selepas itu, mangsa melakukan empat lagi urusan pemindahan wang sehingga tengah hari semalam, dengan jumlah keseluruhan RM8,400,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Mohd. Wazir berkata, selepas melakukan lima transaksi pemindahan wang, suspek masih meminta mangsa melakukan pembayaran. 

“Mangsa yang mula merasa curiga apabila terdapat desakan untuk melakukan transaksi lagi, menghubungi rakannya bagi mendapatkan kepastian namun gagal.

“Akhirnya, mangsa dapat menghubungi kakak rakannya dan dimaklumkan bahawa akaun Telegram adiknya itu digodam individu yang tidak bertanggungjawab.

“Selepas menyedari ditipu, mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Muadzam Shah, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN