PETALING JAYA: Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan sistem subsidi bersasar sebagai langkah mengurangkan beban fiskal negara dan menambah baik kemudahan asas untuk rakyat, termasuk sekolah dan klinik.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan tersebut membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan kepada infrastruktur rakyat pada masa akan datang.
Katanya, sebagai contoh penyusunan semula subsidi tarif elektrik yang diperkenalkan pada Julai 2025 telah memberi manfaat kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) melalui penurunan bil elektrik sehingga 14 peratus.
“Sebanyak 85 peratus rakyat Malaysia tidak terkesan dengan pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar ini.
“Dengan menukar pendekatan kepada penyasaran subsidi, kita dapat mengurangkan beban fiskal negara, sekali gus memastikan perbelanjaan lebih berfokus,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkenaan inisiatif membantu golongan M40 berikutan peningkatan kos sara hidup.
Mengulas mengenai cadangan untuk menilai semula kelayakan isi rumah berdasarkan faktor seperti tempat tinggal, jumlah tanggungan dan perbelanjaan tetap bulanan, Amir Hamzah mengakui kaedah tersebut lebih terperinci, namun sukar untuk dilaksanakan buat masa ini.
“Disebabkan kerumitan pelaksanaan, Kementerian Kewangan belum bersedia untuk mengguna pakai pendekatan tersebut.
“Buat masa ini, kerajaan akan meneruskan penyasaran subsidi melalui kaedah lain dan menyalurkan bantuan lebih bersasar sebagai langkah intervensi semasa,” katanya.










