PORT DICKSON: Seramai 36 individu warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pakatan menipu pelaburan membabitkan rakyat negaranya sendiri yang beroperasi di sebuah premis rumah inap desa, bulan lalu.
Semua tertuduh iaitu 31 lelaki dan lima perempuan berusia lingkungan 21 tahun sehingga 39 tahun itu dengan salah seorang daripadanya sebagai penyelia manakala selebihnya merupakan pegawai perkhidmatan pelanggan, namun tidak memahami pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Mohd. Farez Rahman.
Berdasarkan pertuduhan, kesemuanya adalah pihak kepada suatu pakat jahat jenayah telah bersetuju untuk melakukan persediaan melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu tipu tawaran pelaburan yang menyasarkan warga China kira-kira pukul 3.30 petang di Taman Tanjung, di sini, pada 21 Ogos lalu.
Kesemuanya didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 120B kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azrif Firdaus Mohamad Ali tidak menawarkan sebarang wang jaminan atas beberapa faktor antaranya tertuduh merupakan warganegara asing serta mempunyai risiko melarikan diri.
Semua tertuduh diwakili peguam Chang Kai Pang memohon wang jaminan diberikan kerana kesemua telah ditangkap selama 13 hari sebelum ini.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tiada jaminan dibenarkan atas faktor-faktor dengan merujuk Seksyen 387 Kanun Acara Jenayah dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 12 September ini dengan kehadiran jurubahasa Mandarin.
Difahamkan, modus operandi adalah membabitkan penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan warga China dengan sindiket akan menghantar iklan pelaburan secara rambang melalui aplikasi bagi mencari mangsa.
Sindiket kemudian berhubung dengan mangsa melalui aplikasi wechat, selepas menjalinkan hubungan mesra dan menyakinkan mangsa, sindiket akan perdaya mangsa dalam melabur saham melalui aplikasi pelaburan.
Aplikasi pelaburan berkenaan adalah aplikasi yang dibuat oleh sindiket sendiri dan hanya bertahan selama sepuluh hari sahaja, setelah berjaya memperdayakan mangsa dan mengambil wang pelaburan mangsa, sindiket akan menyahaktifkan aplikasi tersebut dan akan mencipta aplikasi yang baru bagi memperdayakan mangsa lain yang terdiri daripada warganegara China. – UTUSAN









