Covid-19: Penilaian PKD tentukan status persekolahan Melaka - Utusan Malaysia

Covid-19: Penilaian PKD tentukan status persekolahan Melaka

RAIS YASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka bersedia menutup sesi persekolahan susulan gelombang Covid-19 membabitkan kluster pendidikan yang kini menular di 10 sekolah berasrama.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata,  keputusan itu bagaimanapun perlu bergantung kepada penilaian risiko yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). 

Katanya, terkini terdapat lebih kurang 309 pelajar dikuarantin manakala 86 yang lain telah selesai menjalani tempoh kuarantin kendiri.

“JPN telahpun mengambil langkah awal dengan menyediakan laporan, mengasingkan pelajar positif dan mengisolasikan kontak rapat serta melakukan sanitasi segera terhadap sekolah yang terlibat.

“Namun, JPN sentiasa bersedia dengan sebarang arahan dan saranan yang berkemungkinan diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) berhubung penutupan sesi persekolahan secara bersemuka,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang positif dan masih menjalani kuarantin akan menduduki peperiksaan lisan Bahasa Melayu pada sidang kedua, April ini. 

“Calon SPM yang terpaksa dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau di kediaman lain sehingga 8 Februari terpaksa menangguh peperiksaan lisan Bahasa Melayu. 

“Tarikh peperiksaan itu akan ditentukan oleh Kementerian Pendidikan kelak,” katanya. 

Pada 31 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, situasi kluster pendidikan di negeri ini dijangka terus memburuk selepas perayaan Tahun Baharu Cina, sekaligus memberi bayangan kemungkinan sesi persekolahan dan pengajian akan dihentikan sementara waktu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, setakat 30 Januari lalu seramai 671 pelajar dan guru daripada sembilan institusi pengajian dijangkiti wabak itu.

Beliau berkata, gelombang dikesan berlaku menerusi pelajar atau indeks kes yang menetap di luar asrama dan dijangkiti Covid-19 secara sporadik.

JKN juga dikatakan sedang membincangkan mengenai inisiatif pengawalan wabak itu bersama Jawatankuasa Pengurusan dan Pemulihan Covid-19 negeri.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN