Bersihkan UMNO secara total - Utusan Malaysia

Bersihkan UMNO secara total

UMNO bukan sahaja perlu membersihkan parti itu daripada gejala rasuah dalam kalangan pemimpin tertinggi tetapi juga di peringkat bawahan dan juga sistem pemilihan parti untuk bangkit semula dan mendapat sokongan setiap rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO perlu membersihkan parti itu secara total dan tidak hanya mengikis imej pemimpin atasan yang terpalit rasuah, sebaliknya turut mengatasi isu penyalahgunaan kuasa di peringkat pemilihan parti itu.

Mengutarakan pendapat itu kepada Utusan Malaysia, Profesor Ulung, Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, pemi­lihan barisan pemimpin tertinggi iaitu presiden, timbalan presiden, naib presiden serta ahli majlis tertinggi yang hanya dicadang­kan di peringkat bahagian boleh membuka kepada unsur rasuah untuk ‘membeli’ sokongan.

“Dahulu pemilihan dibuat secara demokrasi melalui perhimpunan agung tetapi sekarang ia diputuskan oleh bahagian. Jadi 191 bahagian akan memilih siapa nak jadi pemimpin tertinggi, berapa bahagian bersetuju.

“Kalau bahagian ini dibelinya seorang pemimpin yang banyak duit yang boleh sokong dia? Jadi erti kata kuasa daripada cawa­ngan itu sudah ‘diambil’. Itu perubahan dalaman yang UMNO perlu fikirkan supaya lebih ramai boleh mengambil bahagian dalam memilih pemimpin,” katanya di sini semalam.

Shamsul Amri yang juga Pe­ngarah Pengasas Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ge­jala rasuah bukan hanya dalam konteks mengambil duit dalam kerajaan semata-mata tetapi bo­leh berlaku dalam parti UMNO itu sendiri.

Kata beliau, bukan sahaja pemimpin atasan perlu bebas rasuah, tetapi di peringkat pe­mimpin bawahan juga harus sebersih mungkin kerana pilihan raya itu ditentukan di peringkat kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam hal itu, katanya, UMNO perlu memastikan mereka di peringkat cawangan dan bahagian mempunyai rekod baik dalam melaksanakan tugas mereka sebagai wakil rak­yat, malah mereka juga harus mengambil bahagian untuk me­nyelesaikan masalah rakyat walaupun tidak menang di kawasan itu.

“Seperti parti-parti pembangkang, walaupun dia kalah, tetapi dia ada wakil di kawasan itu untuk membantu rakyat, sekali pun tidak ada jawatan dalam parti tetapi dia bantu rakyat di kawasan itu,” katanya.

Shamsul Amri berkata, rakyat sudah boleh melihat imej UMNO dikuasai oleh kluster mahkamah sudah tidak ada lagi.

Katanya, UMNO telah ‘dirotan’ oleh rakyat dan parti itu sudah sedar diri, cuma yang menjadi cabaran ialah bagaimana untuk menguasai pengundi dalam kalangan tiga kelompok iaitu kelompok bandar, separuh bandar dan luar bandar.

“Kalau UMNO mampu me­ngembalikan kekuatannya di luar bandar dan disokong separuh bandar yang ada Cina dan India, saya rasa UMNO boleh menang majoriti bila-bila masa sahaja, cuma mungkin tidak cukup majoriti dua pertiga te­tapi tidak sukar dapat majoriti kalau orang luar bandar semua sokong,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya