KOTA TINGGI: Alasan sebuah kapal asing yang kononnya sedang menunggu arahan perlayaran daripada pihak syarikat tidak diterima apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) atas kesalahan bersauh secara haram.
Kapal tangki berkenaan yang berdaftar di Panama ditahan selepas tidak memiliki dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia di perairan Johor Timur, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal berkenaan ditahan di kedudukan 11.6 batu nautika timur Tanjung Balau kira-kira pukul 1 petang.
Katanya, siasatan lanjut mendapati kapal sepanjang 243 meter itu dikendalikan 24 kru termasuk nakhoda.
“Kesemua kru terdiri daripada warga Ukraine, India dan Rusia berusia antara 21 tahun hingga 49 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bagaimanapun nakhoda didapati telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan turut memberikan alasan menunggu arahan perlayaran seterusnya dari pihak syarikat.
“Susulan itu kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan bersauh
tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Nurul Hizam, pihak syarikat perkapalan dinasihatkan agar mengambil serius mengenai prosedur dan peraturan sebelum memasuki dan bersauh di mana-mana perairan di Malaysia.










