BALING: Sebanyak enam keluarga di Kampung Bendang Darat, Bongor di sini terpaksa menggunakan air perigi yang tidak terawat untuk keperluan harian sejak 12 tahun lalu.
Penduduk terlibat mendakwa mereka tidak mempunyai pilihan kerana bekalan air bersih yang disalurkan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak diterima berikutan tekanan air rendah di kawasan tersebut.
Seorang penduduk, Ahmad Nasir Hamzah, 50, berkata, dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM1,000 untuk membeli batang paip, pam air dan tangki untuk mendapatkan bekalan air dari perigi lama yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.
“Saya sebelum ini ada menggunakan bekalan air bersih SADA tetapi bekalannya sering terputus dan hanya membayar bil setiap bulan tanpa ada bekalan.
“Selepas itu, saya dan penduduk lain mengambil keputusan tidak menggunakan bekalan air SADA, sebaliknya mengeluarkan modal sendiri memasang paip untuk menggunakan air telaga lama itu.
“Walaupun air perigi itu berlumut dan tidak terawat, namun ahli keluarga saya terpaksa menggunakannya kerana tiada pilihan lain,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi, Sulaiman Yusuf, 63, berkata, dia dan jirannya pula berkongsi satu telaga untuk kegunaan harian selepas air yang disalurkan melalui paip yang disediakan
SADA tidak mendapat bekalan secukupnya.
Katanya, mereka yang menggunakan air perigi juga terpaksa berjimat terutamanya pada musim kemarau panjang.
“Malah penduduk terpaksa menghubungi pihak SADA untuk menghantar bekalan air dengan lori sekiranya air perigi berkurangan dan SADA pula kadang-kadang menghantar bekalan air bersih dua minggu sekali,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










