Aktif penyahihan 2-faktor tingkatkan tahap keselamatan akuan pengguna

Aktif penyahihan dua-faktor tingkatkan tahap keselamatan akuan pengguna – MCMC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai supaya mengaktifkan penyahihan dua-faktor (Two-factor authentication-2FA) sebagai ciri keselamatan bagi membantu melindungi akaun media sosial dan platform pemesejan segera pengguna selain daripada kata laluan pengguna.

Menurut MCMC, statistik trend aduan awam yang diterima oleh MCMC menunjukkan jumlah aduan berkaitan penggodaman dan kehilangan akses meningkat sebanyak 55 peratus, iaitu 1,599 aduan pada tahun 2020 dan 2,483 aduan pada tahun 2021. 

Jelasnya, rata-rata pengadu memohon bantuan dan nasihat bagi mendapatkan kembali akses kepada akaun dan halaman milik atau kendalian mereka.

Sehubungan itu, katanya, risiko keselamatan sebegini menjadikan penggunaan 2FA lebih mendesak, kerana risiko penggodaman atau pengambilalihan akaun bukan sahaja boleh mengakibatkan kecurian identiti, malah boleh membawa kepada penipuan melibatkan kerugian ribuan ringgit.

“Lapisan keselamatan pertama secara umumnya adalah gabungan bersama nama pengguna dan kata laluan, yang telah digunakan sejak awal lagi. Namun, penggunaan kata laluan sebagai satu-satunya langkah keselamatan di alam maya adalah lemah dan terdedah kepada risiko penggodaman atau pengambilalihan akses.

“Melalui 2FA, anda akan diminta untuk memasukkan kod log masuk atau kunci keselamatan khas bagi mengakses akaun. 

“Pengguna juga boleh mendapatkan amaran apabila terdapat percubaan log masuk daripada pelayar atau peranti mudah alih yang tidak dikenali dan diminta mengesahkan percubaan log masuk anda setiap kali terdapat cubaan dibuat. Justeru, aktifkan penyahihan dua-faktor bagi akaun anda sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

MCMC menambah, orang ramai juga diminta untuk tidak klik kepada pautan-pautan mencurigakan yang diterima melalui e-mel. 

“Orang ramai juga perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan sebarang panggilan telefon atau mesej daripada mana-mana individu sama ada yang dikenali atau tidak dikenali yang meminta pengguna berkongsi kod khas seperti kod keselamatan kepada akaun media sosial serta aplikasi pemesejan anda. 

“Perkongsian kod khas tersebut hanya akan memberi peluang mudah kepada pihak tidak bertanggungjawab bagi mengambil alih akaun media sosial atau aplikasi pemesejan pengguna,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya