SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan sokongan kepada waris keluarga wanita yang maut dipenggal anak lelaki dekat rumahnya di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor, Sabtu lalu dengan memberikan bantuan kecemasan.
Selain itu, suaminya yang merupakan asnaf sebelum ini menerima bantuan rumah diberikan bantuan khairat kematian.
Badan baitulmal itu dalam satu kenyataan memberitahu, bantuan berterusan yang diberikan kepada suami mangsa diharap dapat meringankan bebannya.
“Pasangan ini adalah salah seorang asnaf kami di Kuala Selangor. Kami masih ingat lagi keceriaan wajah mereka di majlis penyerahan rumah zakat pada tahun lepas. Kami mendoakan beliau sekeluarga tabah menghadapi ujian besar ini dan semoga Allah menempatkan arwah isteri beliau dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Dalam kenyataan sama, LZS turut menasihatkan program pencegahan, pendidikan dan pemulihan dadah memerlukan penglibatan setiap lapisan masyarakat dan hendaklah bermula daripada peringkat pendidikan awal.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan, penganggur berusia 28 tahun yang disyaki memenggal kepala ibunya Sabtu lepas dipercayai berada di bawah pengaruh dadah. – UTUSAN ONLINE