PETALING JAYA: Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menyokong cadangan agar pengundi Sabah yang berada di Semenanjung dibenarkan mengundi secara pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Cadangan itu dikemukakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung serta Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bagi memastikan hak pengundi Sabah yang bekerja atau menuntut di luar negeri tersebut tidak dinafikan.
Menurut kenyataan bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), ENGAGE, Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (ROSE), Persatuan Bertindak Pilihan Raya Bebas dan Saksama (Tindak) serta Projek Stabiliti dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), kemudahan undi pos perlu dilaksanakan segera bagi menjamin hak demokrasi setiap rakyat Malaysia tanpa mengira tempat.
“Hak untuk mengundi mesti dijamin sepenuhnya kepada semua warganegara tanpa mengira di mana mereka berada.
“Sebarang usaha untuk memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab ini wajar disokong, dengan memastikan prosesnya telus, adil dan saksama,” kata kenyataan itu.
Gabungan tersebut berkata, hak sama perlu diberikan kepada pengundi Sarawak yang berada di luar negeri menjelang PRN Sarawak yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada April 2027.
Mereka berkata, tanpa kemudahan undi awal atau undi pos, pengundi perantau terpaksa berdepan dilema sama ada menukar alamat ke kawasan tanpa pertalian, menanggung kos perjalanan tinggi untuk pulang mengundi atau terpaksa melepaskan hak mengundi akibat kekangan kewangan.
“Seruan anak-anak Borneo serta badan bukan kerajaan (NGO) seperti BERSIH untuk memperluaskan hak undi pos telah bermula sejak PRN Sarawak 2011.
Namun, setelah 14 tahun berlalu, tiga pilihan raya umum dan enam PRN diadakan, nasib pengundi Borneo masih tidak mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.
Gabungan itu turut mendesak Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan menjelang PRN Sabah, sama ada bersedia menyokong pelaksanaan undi awal atau undi pos bagi memastikan pengundi perantau tidak terus tersisih daripada proses demokrasi.
SPR juga perlu menyatakan pendirian rasmi berhubung cadangan berkenaan dalam mesyuarat penentuan tarikh PRN Sabah.
“Sekiranya SPR menolak cadangan ini, rakyat Malaysia khususnya pengundi Sabah berhak mengetahui sebab penolakan tersebut,” kata kenyataan itu.
Gabungan berkenaan mencadangkan agar pelaksanaan undi pos dimulakan pada PRN Sabah atau sekurang-kurangnya disertakan dengan jadual pelaksanaan menjelang PRU Ke-16 dan PRN Sarawak akan datang.
Selain itu, SPR disaran memperincikan pelan jangka panjang bagi menambah baik akses pengundian termasuk untuk pesakit hospital dan banduan yang layak mengundi.
Sebelum ini, Wilfred Madius dilaporkan berkata, SPR wajar mempertimbangkan kaedah undi pos bagi warga Sabah yang bekerja, belajar dan menetap di Semenanjung dalam setiap PRN, sebagai langkah memastikan mereka tidak terhalang daripada menunaikan hak serta tanggungjawab demokratik.










