GERIK: Seorang wanita warga emas maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Baling-Kuala Kangsar berhampiran sebuah kilang peleburan bijih timah di Klian Intan, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 63 tahun yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan kereta jenis Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu Perodua Kancil dan pemandu Proton Saga yang masing-masing berusia lingkungan 40-an pula mengalami kecederaan ringan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 9 pagi.
Katanya, setibanya di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah Perodua Kancil dan sebuah Proton Saga yang bertembung dari arah hadapan.
“Ketua operasi menjalankan penilaian awal sebelum mengaplikasikan konsep saver dan mengarahkan anggota menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa wanita yang tersepit.
“Mangsa kemudiannya diperiksa oleh pasukan perubatan yang mengesahkan wanita terbabit meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada polis, manakala kedua-dua pemandu lelaki yang cedera dihantar ke hospital oleh jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). – UTUSAN










