Yusra Asna persis selebriti, jualan meningkat lebih 30 peratus - Utusan Malaysia

Yusra Asna persis selebriti, jualan meningkat lebih 30 peratus

TELATAH comel Yusra Asna Ruslin menebar roti canai membantu bapanya terus mendapat perhatian ramai yang tidak putus-putus mengunjungi kedai mereka di kedai makan dan minuman Uwita Enterprise di Beseri, Padang Besar. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kisah Yusra Asna Ruslin, 7, yang tidak kekok membantu bapanya menebar roti canai menjadi perhatian ramai pelanggan yang tidak putus-putus mengunjungi kedai mereka di Beseri, dekat sini sekali gus membantu meningkatkan jualan harian mereka.

Kebanyakan pelanggan yang datang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan gelagat kanak-kanak comel itu menebar roti selain merakam gambar Yusra Asna yang hanya dapat dilihat aksinya pada hari minggu.

Malah, hasil jualan roti canai keluarga tersebut juga mencatatkan peningkatan lebih 30 peratus sejak laporan mengenai Yusra Asna di akhbar ini tular secara meluas di media sosial.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yusra Asna berkata, rakan-rakan dan gurunya di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tunjong sering mengusik mengatakan dia sudah terkenal umpama artis.

Katanya, pada minggu pertama sekolah sebelum ini, guru ada membawa dia ke kelas-kelas lain dan menunjukkan keratan akhbar mengenai kisahnya menebar roti canai.

“Cikgu ceritakan kepada rakan-rakan di sekolah mengenai kisah saya menebar roti canai di kedai membantu ayah. Seronok jugalah merasai pengalaman baharu seperti ini,” katanya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, meskipun baharu berusia tujuh tahun, namun Yusra Asna langsung tidak kekok membantu bapanya menebar roti canai di gerai mereka.

Malah kisah Yusra Asna itu turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang turut mengunjungi kanak-kanak tersebut.

Sementara itu, bapa Yusra Asna, Ruslin Meli, 45, berkata, perniagaannya mencatatkan peningkatan kira-kira 30 peratus sejak laporan mengenai Yusra Asna tular di media sosial.

Katanya, sebelum ini, dia hanya menjual 200 keping roti canai sehari dan kini meningkat mendadak sehingga 350 keping.

“Peningkatan itu, termasuk jualan martabak daripada 100 keping kepada 120 keping sehari. Jika sebelum ini, kami menutup gerai sekitar pukul 11 pagi namun sekarang sekitar pukul 9.30 atau pukul 10 pagi semuanya habis.

“Terdapat juga pertambahan pelanggan baharu dan tidak kurang juga yang singgah untuk merakam gambar bersama Yusra Asna. Malah, pihak media cetak dan elektronik juga ramai datang membuat liputan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman baru-baru ini turut singgah di kedai tersebut bagi menyampaikan sijil Kalis Masa Depan kepada Yusra Asna.

“Sijil yang diberikan kepada murid tahun satu itu sebagai motivasi dan merupakan penanda aras pencapaian murid-murid di luar kelas. Apa yang dilakukan Yusra Asna bertepatan dengan aspirasi Jabatan Pendidikan merangkumi pendedahan kepada enam teras seperti kemahiran teknologi maklumat, Internet of Things (IoT), keusahawanan, pertanian, pengurusan majlis dan komunikasi.

“Apa yang dilakukan keluarga Yusra Asna itu adalah contoh penglibatan ibu bapa yang memberi sokongan, pendedahan awal serta pendidikan tidak formal kepada generasi muda untuk menguasai kemahiran-kemahiran tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN