YBGK terima geran RM7j bagi 2022 - Utusan Malaysia

YBGK terima geran RM7j bagi 2022

IDRUS HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Geran sebanyak RM7 juta diluluskan kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri untuk Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan sebagai usaha dalam memastikan mereka yang memerlukan bantuan perundangan mendapat perhatian sewajarnya.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, geran tersebut adalah bagi membantu YBGK menampung perbelanjaan mereka yang semakin meningkat.

“Secara keseluruhannya, sejak YBGK ditubuhkan, sebanyak RM58.08 juta telah disalurkan kepada badan itu. Geran RM7 juta yang diluluskan untuk YBGK bagi tahun 2022 adalah sebagai tanda komitmen dan kesediaan berterusan Kerajaan dalam memastikan keadilan boleh diakses oleh semua pihak terutama mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2022 di Istana Kehakiman di sini.

Yang hadir sama  Presiden Mahkamah  Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Besar Sabah Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

Sejajar dengan norma baharu, majlis tersebut turut dihadiri Ketua Mahkamah Agung Republik Indonesia, Profesor Dr. Muhammad Syarifuddin; Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung Filipina, Alexander G. Gesmundo dan Ketua Hakim Syarie Malaysia, Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar secara aplikasi Zoom.

Terdahulu, Presiden Majlis Peguam, AG Kalidas dalam ucapannya pada majlis sama menyatakan, rentetan Perjanjian Persefahaman di antara badan tersebut dengan pihak Kerajaan, Pusat Mediasi Covid-19 telah ditubuhkan pada November tahun lalu.

Penubuhan tersebut adalah bagi membolehkan orang awam mendapatkan khidmat nasihat mediasi bagi pertikaian membabitkan pelaksanaan tanggungjawab berdasarkan kontrak ekoran perintah kawalan yang dikeluarkan sewaktu pandemik.

“Berbanding beban kerja, kepakaran dan perkhidmatan yang diberikan, peguam-peguam YBGK menerima bayaran yang sedikit berbanding di negara-negara lain. Dana yang mencukupi diperlukan bagi membolehkan YBGK terus memberikan keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Tambahnya, tanpa kehadiran peguam-peguam YBGK akan terdapat individu-individu yang didakwa di mahkamah tanpa diwakili peguam. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya