GEORGETOWN: Malang nasib seorang warga emas apabila mengalami kecederaan melecur pada tangan kiri akibat kebakaran tilam di bilik tidurnya di Flat Sri Saujana, Gat Lebuh Macallum, di sini malam tadi.
Mangsa, lelaki berusia dalam lingkungan 70-an itu dilaporkan melecur 30 peratus dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mohamad Yahaya Murad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pukul 11.55 malam dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, mangsa telah diberi rawatan awal oleh unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Sebaik sahaja pasukan tiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah tilam yang terbakar 10 peratus dan telah mengakibatkan seorang mangsa lelaki melecur pada tangan.
“Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan api telah berjaya dipadamkan sepenuhnya kurang lima minit kemudian,” katanya di sini hari ini.










