KOTA BHARU: Pemberian berjumlah RM400 juta kepada Kerajaan Negeri Kelantan bagi tahun 2020 dan 2021 adalah merupakan ‘wang ihsan’ daripada Kerajaan Persekutuan, bukannya bayaran ‘tunai royalti’.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika menegaskan perkara itu berkata, kedua-dua pemberian itu masing-masing telah dimasukkan ke dalam Belanjawan Kelantan 2020 dan 2021.
“Kerajaan Negeri Kelantan sehingga kini masih lagi dalam proses rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan wang hasil petroleum sebanyak RM400 juta kepada Kelantan untuk 2020 dan 2021.
Menurutnya, pembayaran itu diberikan secara langsung kepada kerajaan negeri berdasarkan lima peratus pengeluaran medan hasil petroleum yang berdekatan Kelantan.
Jumlah pembayaran yang disalurkan kepada Kelantan tersebut meningkat berlipat kali ganda berbanding pada 2019 dengan jumlah yang diberikan pada tahun tersebut adalah sebanyak RM28 juta.










