DUNGUN: Sebuah video yang memaparkan harimau belang melintas di jalan berbatu tular dalam media sosial sejak malam tadi.
Video berdurasi 33 saat itu difahamkan dirakam di Santong, Paka di sini oleh orang awam yang kebetulan memandu di kawasan berkenaan.
Dalam video itu, pak belang didapati keluar dari semak dan kemudian melintas laluan berbatu yang digunakan penduduk kampung.
Rata-rata pengguna Facebook terkejut dan meluahkan rasa bimbang dengan kemunculan harimau belang itu.
RAKAMAN video orang awam mengenai penemuan harimau belang di Santong, Paka. – MEDIA SOSIAL
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkenaan penemuan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut akan dilakukan berhubung kejadian itu di samping membuat pemantauan dari semasa ke semasa.
“Memandangkan ada hutan simpan berdekatan, iaitu Hutan Simpan Rambai Daun, sekiranya tidak ada konflik atau kacau ganggu biasanya kita akan pantau dan tindakan lain akan diambil mengikut keperluan,” katanya.










