NIBONG TEBAL: Lebih 15,000 liter air digunakan dalam operasi pemadaman dari udara oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lokasi kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di sini semalam.
Operasi yang menggunakan dua buah helikopter dari Unit Udara JBPM Subang dan Pulau Pinang serta melibatkan lapan kru berlangsung selama kira-kira dua jam bermula pukul 11 pagi.
GAMBAR dari udara menunjukkan kawasan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang. – IHSAN BOMBA
Menurut jurucakap JBPM, operasi hari ini berjaya melakukan 15 kali curahan air (dump) dari udara yang diambil dari sumber terbuka.
Jelas beliau, operasi itu dijangka disambung semula esok.
“Untuk hari ini (semalam), kita sempat beroperasi selama dua jam iaitu bermula pukul 11 pagi hingga kira-kira pukul 12.40 tengah hari.
“Sepanjang tempoh itu juga, lebih 15,000 liter air telah digunakan untuk memadam api,” jelasnya.
Proses pemadaman dari udara itu dibuat di lokasi titik panas berdasarkan imej termal yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.
SEBANYAK 15,000 liter air dari sumber terbuka digunakan dalam operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang oleh dua buah helikopter JBPM hari ini.
Sejak dikesan Rabu lalu, kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung melibatkan keluasan kira-kira tujuh hektar dari keseluruhan seluas 16.5 hektar itu masih gagal dipadamkan sepenuhnya sehingga ke hari ini.
Ekoran itu, kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga di kawasan sekitar iaitu Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru diarahkan berpindah sementara berikutan kualiti udara yang tercemar dengan 44 daripada mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan di SK Bakap Indah.
Sebanyak 10 buah sekolah dalam radius 10 kilometer turut diarahkan tutup selama tiga hari bermula hari ini kerana kualiti udara yang mengancam nyawa.










