PETALING JAYA : Segala usul tergempar perlu dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sekiranya mahu perkara itu dapat dibincangkan dalam sidang Parlimen.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, hal ini kerana tujuan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat esok adalah untuk membincangkan isu bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.
Katanya, perjalanan sidang esok adalah penerangan oleh menteri-menteri dan sesi soal jawab dalam kalangan ahli Parlimen.
“Saya berpandangan sebarang usul mestilah dibuat mengikut peraturan malah memandangkan tujuan mesyuarat khas esok berkaitan banjir. Walau bagaimanapun sebarang usul lain boleh dikemukakan pada sesi pembukaan Dewan Rakyat berlangsung akan datang.
“Saya tahu berkenaan isu dikemukakan Ahli Parlimen Pulai itu. Namun sama ada usul tergempar ini akan dikemukakan esok, itu kena rujuk kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau mengulas berhubung satu usul tergempar yang dihantar oleh Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Ia bagi membincangkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Usul itu dipaparkan menerusi akaun Twitter miliknya, dengan harapan agar usul itu dapat dibahaskan pada Sidang Khas Dewan Rakyat esok.
Dalam pada itu, usaha bagi mendapatkan maklum balas Azhar Azizan gagal kerana beliau tidak menjawab panggilan dan membalas kiriman mesej.-UTUSAN ONLINE