“Usap perut Ernie, rasa macam baru saja mengandungkan Aafiya, Afwa” -Siti Nurhaliza. - Utusan Malaysia

“Usap perut Ernie, rasa macam baru saja mengandungkan Aafiya, Afwa” -Siti Nurhaliza.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menitipkan dedikasi istimewa dan doa buat penyanyi berbakat besar, Ernie Zakri yang kini sedang sarat hamil cahaya mata sulung.

Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu popular Badarsila itu memuat naik beberapa keping gambar bersama Ernie dan suaminya yang juga penyanyi, Syamel.

Dalam coretan tersebut, dia yang lebih mesra disapa sebagai TokTi itu mendoakan agar penyanyi lagu Ku Bersuara itu selamat melahirkan bayi pertama.

Malah, dia juga menitipkan doa buat Syamel yang bakal bergelar bapa agar menjadi seorang suami dan ayah yang terbaik.

“Saya doakan adik saya @erniezakri akan terus sihat sehingga selamat bersalin nanti.

“Buat @syamel_official, semoga menjadi suami dan ayah terbaik sebagai ketua keluarga.

“Usap perut Ernie, rasa macam baru sahaja saya mengandungkan Aafiya dan Afwa. Jaga diri dik!” katanya di Instagram.

Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, ruangan komen perkongsian berkenaan turut mendapat perhatian daripada pasangan merpati dua sejoli itu.

“Terima kasih TokTi. Walaupun singkat perjumpaan semalam, kami rasa gembira sangat. Alhamdulillah, semoga baik-baik juga untuk TokTi sekeluarga. Sayang awak, TokTik!” komen Ernie.

Pada masa yang sama, Syamel turut meluahkan ucapan terima kasih buat penyanyi nombor satu itu atas doa yang baik-baik buat kehamilan Ernie.

“Amin, terima kasih buat doa dari seorang insan yang hebat. Nanti kita fikirkan bayi nak panggil Toktik apa ya, hehe,” seloroh Syamel dalam ruangan komen itu.

Sekadar informasi, Ernie dan suami mendirikan rumah tangga pada tanggal 26 Mac tahun lalu dan kini dijangka akan menimang cahaya mata pertama pada akhir bulan Februari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN