BERA: Kepimpinan UMNO di setiap negeri perlu diberikan autonomi dalam membuat keputusan termasuk membabitkan kerjasama politik di negeri masing-masing.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap negeri mempunyai pandangan berbeza berhubung hala tuju dan kerjasama politik.
“Pahang mungkin berbeza dengan Kelantan, Selangor mungkin berbeza dengan Terengganu. Masing-masing ada pandangan berbeza termasuk membabitkan kerjasama dengan Pas.
“Jadi, saya rasa negeri patut diberikan sedikit autonomi untuk membuat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Bersama Anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Bera di sini hari ini.
Semalam, UMNO Kelantan membuat keputusan untuk membawa hala tuju sendiri dan tidak lagi bekerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, perkara itu diputuskan selepas pertemuan pihaknya dengan Pas Kelantan di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Kata Ahmad Jazlan, pimpinan UMNO Kelantan sepakat membuat keputusan itu, susulan pendirian Pas yang masih mahu menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.
Mengulas tindakan UMNO Kelantan, Ismail Sabri berkata, keputusan itu tiada kena mengena dengannya yang telah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan UMNO negeri itu semalam.
“Ia tiada kaitan dengan saya. Cadangan UMNO Kelantan telah pun disuarakan sewaktu mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) lagi, UMNO Kelantan telah memberikan gambaran apa keputusan mereka.
“Kita (UMNO) serah kepada UMNO Kelantan untuk membuat keputusan, asalkan ia tidak merugikan UMNO terserah kepada UMNO Kelantan,” katanya.