TELUK INTAN: Polis mengesahkan tiada saksi tampil bagi menyokong dakwaan pemandu lori muatan batu yang terlibat dalam kemalangan tragik membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) cuba mengelak sebuah kenderaan dari simpang sebelum merempuh trak FRU berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, setakat ini tiada laporan rasmi diterima berkaitan dakwaan tersebut yang dibuat oleh seorang pekerja gerai makan.
“Siasatan kes ini telah selesai dan pertuduhan juga sudah dibuat ke atas pemandu lori tersebut semalam.
“Setakat ini, saksi yang mengatakan ada melihat lori mengelak kenderaan melintas belum tampil memberi maklumat kepada polis. Sekiranya ada, kita akan menjalankan siasatan lanjut bagi tujuan perbicaraan,” katanya dalam sidang akhbar di Hospital Teluk Intan di sini semalam.
Beliau mengulas dakwaan seorang wanita yang bekerja di gerai makan berhampiran mendakwa melihat lori berkenaan cuba mengelak sebuah van yang keluar dari simpang ke arah Chikus, sebelum terbabas dan merempuh trak FRU di laluan bertentangan.
Menurut Zulkafli, setakat ini seramai 16 individu termasuk pemilik syarikat lori telah dipanggil dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Sementara itu Koperal Syed Isfan Syed Mohamad, 32, yang dilaporkan kritikal akibat kemalangan itu kini menunjukkan perkembangan positif.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata, anggota polis itu yang telah menjalani tiga pembedahan kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan kompleks itu dirujuk dari Hospital Teluk Intan ke HRPB pada hari sama nahas berlaku, 13 Mei lalu.
“Pesakit mengalami kecederaan pelbagai termasuk pada paru-paru, organ hati dan limpa selain kecederaan tulang, tulang rusuk, kaki dan pinggul. Dia juga kemungkinan besar cedera pada buah pinggang dan pundi kencing
“Semasa dimasukkan ke HRPB pun, dia sudah menjalani tiga pembedahan di peringkat awal. Kita akan lihat kemungkinan pesakit ini perlu melalui pelbagai prosedur lain.
“Saya ada melawat di ICU semalam dan doktor pakar yang merawat pesakit memberitahu dia menunjukkan perkembangan baik walaupun keadaannya serius. Dia pun sudah mula sedar,” ujarnya.
Menurut beliau, empat lagi anggota FRU yang turut parah dalam nahas itu kini dirawat di ICU Hospital Teluk Intan dan kesemua mereka turut menunjukkan perkembangan positif. – UTUSAN










