Ular tedung selar sesat menyorok dalam besen - Utusan Malaysia

Ular tedung selar sesat menyorok dalam besen

ANGGOTA JPAM menangkap ular tedung selar yang bersembunyi belakang rumah penduduk di Kampung Paya Ara, Beruas hari ini. - UTUSAN/IHSAN JPAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS:  Sepasang suami isteri cemas apabila seekor ular tedung selar dipercayai sesat bersembunyi dalam besen di ruang belakang rumahnya di Kampung Paya Ara di sini pagi tadi.

Penduduk, Kamarul Baharin Karrim, 58, berkata, sebelum itu haiwan tersebut dipercayai sepanjang kira-kira tiga meter melingkar di hadapan keretanya yang diparkir di hadapan rumah.

“Isteri yang membuka pintu depan rumah terkejut melihat kelibat ular bersaiz besar itu, lantas menjerit sehingga menyebabkan haiwan itu mungkin terkejut dan terus mengangkat kepalanya.

“Apabila saya keluar nampak ular itu menuju belakang rumah dan pada mulanya saya ingat ia terus masuk ke kebun sawit, rupa-rupanya, menyorok dalam besen yang disandarkan ke dinding di belakang rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamarul Baharin kemudian segera menghubungi talian kecemasan kira- kira pukul 10 pagi dan lima anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terdiri daripada seorang lelaki dan empat perempuan datang ke rumahnya tidak lama kemudian.

Menurut beliau, pasukan itu mengambil masa kira- kira lima minit untuk menangkap ular tersebut dan meletakkannya dalam sebuah sangkar.

Jelas beliau, ini adalah pertama kali ular bersaiz besar datang ke rumahnya yang dikelilingi pokok kelapa sawit itu.

“Kira-kira lapan tahun lalu ada ular tedung berwarna hitam datang tetapi tidak sebesar ini dan lebih kurang 20 tahun lalu pula ada juga saya nampak ular berwarna seperti albino lalu di depan rumah dan terus masuk dalam hutan,” jelas beliau lagi. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN