KUALA LUMPUR: Jumlah hutang kad kredit dan kad caj rakyat Malaysia bernilai RM50.7 bilion setakat September tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM551.8 juta atau 1.1 peratus merupakan tunggakan yang telah melepasi tempoh bayaran.
Katanya, jumlah hutang beli sekarang bayar kemudian (BNPL) pula direkodkan berjumlah RM4.2 bilion dengan melibatkan tujuh juta pemegang akaun aktif bersamaan 0.3 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah.
“Daripada jumlah tersebut, BNPL tidak berbayar berada pada tahap terkawal iaitu RM17.7 juta manakala jumlah tunggakan keseluruhan BNPL berjumlah RM147.7 juta atau 3.5 peratus.
“Secara keseluruhannya, seramai 185,465 pengguna BNPL dikenal pasti mempunyai baki pembayaran tertunggak dalam tempoh berkenaan. Walaupun kemudahan kad kredit dan kad caj menawarkan fleksibiliti kewangan kepada pengguna, kerajaan menegaskan bahawa pengurusan hutang yang berhemah amat penting bagi mengelakkan risiko kewangan jangka panjang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang meminta kerajaan menyatakan langkah mengawal pembelian kredit di platform e-dagang di negara ini.
Hui Ying berkata, Akta Kredit Pengguna 2025 yang dijangka berkuat kuasa bulan ini menjadi antara langkah utama kerajaan untuk mengawal selia penggunaan BNPL melalui platform e-dagang.
“Di bawah akta tersebut, semua pemberi kredit bukan bank diwajibkan mematuhi amalan pemberian kredit bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN










