ROMPIN: Sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang terjunam ke dalam Sungai Rompin do sini, semalam ditemukan kira-kira 59 meter dari lokasi kejadian, pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kenderaan itu dikesan oleh pasukan Penyelam di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekitar pukul 11 pagi.
“Kenderaan berkenaan berada di dasar sungai sedalam kira-kira sembilan meter dalam keadaan mengiring. Arus sungai ketika ini agak kuat.
“Mangsa belum dapat dipastikan sama ada berada di dalam kenderaan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Semalam, sepasang suami isteri dikhuatiri lemas selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam sungai berkenaan.
Difahamkan, mangsa Mohd. Zairip Bidin, 40, bersama isterinya, Aisyah Shafie, 55, ketika kejadian dalam perjalanan ke rumah kakaknya di Kampung Sarang Tiong, Tanjung Gemok. – UTUSAN










