MELAKA: Pegawai dan pemain skuad bola sepak Melaka United (MU) perlu menunggu sehingga Ahad ini, bagi Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) mengumumkan penyelesaian tunggakan gaji tiga bulan yang membelenggu pasukan itu musim lalu.
Presidennya, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, Kongres MUSA ke-66 yang diadakan di Hotel MITC, Ayer Keroh akan mengambil langkah menyelesaikan kemelut gaji pegawai dan pemain yang tidak dibayar sejak Oktober tahun lalu.
“Tunggulah Kongres MUSA akan bersidang Ahad ini. Saya tak duduk dekat kongres lagi dan selepas mesyuarat itu nanti barulah kita tahu apa keputusannya,” ujarnya ringkas.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Bemban Maju Jaya di Dewan Serbaguna Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (DUN) (Japerun) Bemban di sini hari ini.
Isu tunggakan gaji pemain MU terus menjadi perhatian dalam kalangan peminat bola sepak, khususnya di negeri ini.
Terbaharu, Skuad Sang Kancil diberi tempoh sehingga 31 Januari ini oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi menyelesaikan tunggakan gaji tersebut atau berdepan dengan sekatan perpindahan pemain secara automatik 1 Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, selepas tempoh tersebut, skuad itu mempunyai tempoh 14 hari menyelesaikan masalah tersebut dan jika gagal, mereka akan berhadapan dengan pemotongan mata bagi Liga Malaysia musim ini.
Selain Melaka, Sarawak juga berdepan masalah yang sama apabila masih berhutang dengan 39 pemain dan pegawai sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, hanya 15 daripada mereka telah menerima bayaran penuh. -UTUSAN ONLINE










