Tujuh individu ditahan, mesin bitcoin bernilai RM3.2 juta dirampas - Utusan Malaysia

Tujuh individu ditahan, mesin bitcoin bernilai RM3.2 juta dirampas

WAN Hassan Wan Ahmad (tengah) menunjukkan rampasan alatan mesin bitcoin dalam serbuan Op Letrik TNB di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/NUR ANATI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai tujuh individu ditahan bersama 3,245 mesin bitcoin selepas disyaki terlibat dalam aktiviti perlombongan bitcoin secara haram yang bernilai RM3.2 juta di negeri ini sejak 19 Januari lalu sehingga semalam.

Dalam tempoh itu, sebanyak 44 serbuan dilakukan di bandar-bandar utama seperti Sungai Petani, Kulim, Alor Setar dan Langkawi dalam Op Letrik TNB yang turut dibantu pegawai dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) kawasan.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kesemua suspek berusia 35 hingga 45 tahun itu ditahan ketika berada di dalam beberapa premis aktiviti tersebut dijalankan.

Menurutnya,, siasatan awal juga mendapati ada dalam kalangan suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat penyambungan haram arus elektrik di premis perniagaan, premis kilang tidak beroperasi atau rumah kediaman.

“Mereka ini juga mengupah atau menggajikan pekerja mahir dalam membuat penyambungan haram dan akan ada penjaga di premis tersebut,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket tersebut aktif sejak enam bulan lalu dan kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan namun telah dibebaskan dengan jaminan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 dan 426 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, siasatan alternatif pula di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik turut digunakan sekiranya premis aktiviti disahkan sebagai ‘non-domestic area’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 5,948 mesin bitcoin dirampas dalam 85 serbuan dengan nilai RM6.6 juta sepanjang Ops Letrik TNB pada tahun 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya