Transformasikan sektor pertanian - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Transformasikan sektor pertanian – Raja Muda Perlis

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL (tengah) berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 28 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Amin Sempering, Kangar, Perlis semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Sektor pertanian tempatan perlu sentiasa ditransformasikan bagi mempertingkatkan tahap daya tahan selain kekal berdaya saing, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, projek pertanian bersifat yang sekadar ‘cukup makan’ sahaja tidak lagi mencukupi sebaliknya perlu berskala komersial yang dapat membawa pulangan lebih tinggi kepada para petani.

Titah baginda, sebagai contoh, Thailand dapat menukarkan tanah-tanah mereka yang tidak diusahakan menjadi tanah yang lebih subur dan produktif.

“Peningkatan tahap produktiviti di semua sektor, kegiatan penyelidikan berkaitan kaedah pengurusan pertanian yang baik serta penggunaan alat jentera termaju di ladang-ladang hendaklah diberi perhatian serius ke arah mewujudkan sistem perladangan tepat atau ‘precision farming’.

“Melalui kaedah ini, kita juga bukan sahaja dapat mengurangkan kos pengeluaran pertanian, tetapi apa yang lebih penting ialah dapat meningkatkan pendapatan para petani, penternak dan juga nelayan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 28 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Amin Sempering di sini semalam.

Sumbangan bernilai RM11,200 dengan masing-masing menerima RM400 setiap seorang itu akan diagihkan amil masjid itu, Senawi Saad.

Sumbangan tersebut juga bersempena program ‘Hijrah Minda MAIPs bilangan pertama bagi tahun 2022

Mengiringi baginda, Ketua Pegawai Eksekutif  MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Terdahulu, baginda turut berkenan singgah menyantuni rumah seorang asnaf, Moi Fittriani Mursal,52, yang baru sahaja kehilangan suami beberapa bulan lalu.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN