KUNAK: Hanya dalam sekelip mata, seorang wanita kehilangan suami dan dua anak dalam tragedi bot karam yang berlaku di perairan Pulau Tagabua, di sini semalam.
Dalam kejadian bot karam yang berlaku pada pukul 7 malam itu, empat sekeluarga yang merupakan warga Filipina itu dilaporkan hilang namun, hanya wanita berusia 35 tahun itu ditemukan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Mohammad Omarbatha berkata, tiga mangsa termasuk wanita itu ditemukan oleh orang awam semalam manakala, seorang lagi mangsa ditemukan pada pukul 10.30 pagi tadi.
Mangsa yang meninggal dunia adalah Saujal Manggguna, 31, dan dua anaknya iaitu Mohd. Haizal berusia lima tahun dan Suriani yang berusia tiga tahun.
Pasukan bomba kemudian mengambil kesemua mayat mangsa yang ditemukan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kesemua mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan daripada Lahad Datu ke Kunak untuk berjumpa dengan saudara-mara.
Walau bagaimanapun, akibat cuaca yang tidak baik, bot yang dinaiki dipukul ombak hingga menyebabkan bot tersebut terbalik lalu karam di perairan berkenaan.
Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada pukul 12.28 tengah hari. -UTUSAN ONLINE









