TPM patut wakil UMNO, bukannya Bersatu - Utusan Malaysia

TPM patut wakil UMNO, bukannya Bersatu

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatan Timbalan Perdana Menteri perlu dilantik melibatkan dalam kalangan ahli Parlimen UMNO dan bukannya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya tidak mengulangi rekod kesilapan pemimpin Bersatu yang telah gagal mentadbir kerajaan pada sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memerlukan seorang Timbalan Perdana Menteri diyakini rakyat dalam mentadbir negara khususnya mendepani kesan pandemik Covid-19 dan banjir.

Malah katanya, sepatutnya jawatan itu perlu datang daripada UMNO memandangkan kemampuan mentadbir negara adalah lebih diyakini daripada parti berkenaan.

“Kerajaan tidak lagi boleh mengambil pendekatan cuba-cuba atau ‘try and error’ seperti yang berlaku pembentukan kerajaan Tun Dr. Mahathir Mohamad daripada Pakatan Harapan (PH) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perikatan Nasional) yang terbukti gagal dan membawa kemunduran dan kesengsaraan rakyat.

“Malaysia kini bergelut membangunkan semula negara yang telah mundur selepas dua Perdana Menteri daripada Bersatu yang gagal. Kini telah tiba masa untuk memilih Timbalan Perdana Menteri yang benar-benar boleh membuat kerja dan berkesan bagi menjamin kestabilan negara,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan setelah hampir lima bulan menerajui kerajaan Keluarga Malaysia, Ismail Sabri dijang­ka melakukan rombakan Kabinet dan melantik Timbalan Perdana Menteri minggu hadapan.

Desas-desus kuat mengatakan tiga nama bakal dilantik menyandang Timbalan Perdana Menteri termasuk Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada Bersatu.

Dalam pada itu, Mohamad Faisol menambah, kegagalan melantik mana-mana ahli Parlimen PN sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak akan memberikan kesan kepada kedudukan kerajaan hari ini memandangkan PH tidak menerima kehadiran mereka sekiranya gabungan parti itu bercadang mahu membentuk blok baharu.

“Ini dapat dilihat apabila Muhyiddin terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri manakala wakil-wakil rakyat Bersatu gagal mendapatkan sokongan PH walaupun menawarkan pelbagai jawatan kepada PH secara terang-terangan.

“Namun secara umumnya pelantikan Timbalan Perdana Menteri amat penting kerana dapat menjamin kestabilan serta keutuhan kerajaan dan akan memberi impak kepada keyakinan pelabur asing untuk melabur ke Malaysia. Dalam proses membangunkan kembali ekonomi, maka kerajaan perlu menyakinkan pelabur terlebih dahulu,” jelasnya.

Sebaliknya Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, pelantikan Timbalan Perdana Menteri tidak akan menguntungkan rakyat, sebaliknya hanya membantu menyelesaikan isu krisis dalaman dan sekadar mengambil hati parti tertentu yang mendukung kerajaan hari ini.

Beliau berkata, malah rakyat kini langsung tidak kisah soal jawatan tersebut sebaliknya mereka hanya mahukan masalah dihadapi akibat kesan Covid-19 dan banjir dapat diselesaikan segera.

“Adakah pelantikan Timbalan Perdana Menteri memberikan faedah kepada rakyat? Adakah pelantikan dapat menyelesaikan masalah rakyat? Sedangkan mereka hanya mahu isu-isu dihadapi negara kini dapat diatasi secepat mungkin.

“Pelantikan ini hanya menyelesaikan isu dalaman tetapi bukan secara luaran membabitkan kehidupan rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya