TPM dari Sabah, Sarawak, jangan ada prejudis - Utusan Malaysia

TPM dari Sabah, Sarawak, jangan ada prejudis

ABDUL RAHMAN DAHLAN dan AZIZAH MOHD. DUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Keperluan melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Sabah, Sarawak tidak harus dilihat sebagai memenuhi tuntutan hak sama rata dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semata-mata.

Ini bukan soal tuntutan tetapi tentang kelayakan seorang pemimpin yang boleh membawa perubahan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ramai dalam kalangan pemimpin Sabah dan Sarawak mempunyai pengalaman, berkebolehan dan berkaliber untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri mahupun Perdana Menteri.

“Saya kira pengalaman pemimpin Sabah dan Sarawak sama dengan orang-orang di Semenanjung. Jadi, tiada masalah untuk melantik pemimpin daripada Sabah, Sarawak sebagai Timbalan Perdana Menteri asalkan orang yang dilantik itu mempunyai pengalaman dan berkebolehan.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk negara ini memberi peluang kepada pemimpin Sabah, Sarawak memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berharap rakan-rakan di Semenanjung tidak bersikap prejudis atau was-was dengan kebolehan pemimpin Sabah, Sarawak.

“Jangan ada berpandangan bahawa pemimpin Sabah, Sarawak tidak layak dan tiada kebolehan, sebenarnya ramai pemimpin yang berkebolehan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pelantikan Timbalan Perdana Menteri daripada Sabah atau Sarawak juga satu pendekatan atau strategi baharu kerana ekonomi Malaysia pada masa akan datang banyak bergantung kepada Sabah dan Sarawak.

“Kita masih mempunyai kawasan yang luas dan subur maka, pusat ekonomi negara akhirnya akan beralih ke Sabah dan Sarawak yang kaya dengan pelbagai sumber seperti minyak dan gas,” katanya.

Justeru, beliau sekali lagi menyokong keperluan melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Sabah atau Sarawak dengan syarat mereka yang dilantik itu mempunyai pengalaman dan kelayakan.

“Kita perlukan Timbalan Perdana Menteri yang betul-betul boleh buat kerja, berkebolehan dan mampu membawa perubahan. Bukan sebab dia daripada Sabah, Sarawak maka, dia jadi Timbalan Perdana Menteri, itu tidak betul. Kalau dia tidak boleh buat kerja, orang akan menyatakan kita gagal sebagai pemimpin Sabah, Sarawak,” katanya.

Turut senada dengan Abdul Rahman, ialah Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Azizah Mohd. Dun.

Ahli Parlimen Beaufort berkata, langkah menyegerakan lantikan TPM daripada Sabah, Sarawak ini satu langkah yang tepat pada masanya kerana sejak sekian lama, belum ada pemimpin daripada kedua-dua negeri ini diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sebelum ini, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr. Romzi Ationg berkata, kerajaan perlu melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Sabah, Sarawak dengan kadar segera seiring semangat MA63 yang dipersetujui semua pihak. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya