Tiga anak muda berbasikal 1,040km - Utusan Malaysia

Tiga anak muda berbasikal 1,040km

SEKUMPULAN tiga anak muda dari negeri ini berjaya menempuh cabaran menunggang basikal sejauh 1,040 kilometer dari Perlis sehingga ke Johor baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sekumpulan tiga anak muda dari negeri ini berjaya menempuh cabaran laluan berbukit, berpanas dan hujan menunggang basikal sejauh 1,040 kilometer dari Perlis sehingga ke Johor baru-baru ini.

Musleh Zahari, 32, yang menunggang basikal retro Mountain Bike dan dua rakannya, Ainnol Izat Asri, 33, dan Syed Hazimin Syed Ahmad, 39, dengan basikal retro BMX berjaya menamatkan cabaran berkenaan yang memakan masa selama 13 hari.

Menariknya, kembara jelajah Semenanjung menggunakan BMX tanpa bantuan gear itu adalah pertama kali dilakukan bagi peminat aktiviti basikal di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Musleh berkata, sepanjang 13 hari itu, mereka menempuh pelbagai cabaran seperti laluan berbukit, basikal mengalami kerosakan, cuaca panas dan hujan.

Katanya, setiap hari dalam tempoh tersebut, mereka menghabiskan kayuhan sekitar 100 hingga 120 kilometer yang memakan masa antara lima ke lapan jam termasuk rehat.

Jelas peniaga itu, sepanjang jelajah tersebut, mereka hanya tidur di masjid-masjid, tepi pantai dan kadang-kala menginap di hotel.

“Kami bermula dari Perlis kemudian melalui laluan di Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan seterusnya tiba di Johor bagi menamatkan jelajah yang pertama kali disertai oleh kami,” katanya yang aktif dengan aktiviti berbasikal sejak setahun lalu.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang lelaki dari negeri ini iaitu Ku Hasrin Ku Abd. Rahman,40, yang menunggang basikal mini klasik berusia 35 tahun bersama lima rakannya menempuh perjalanan sehingga 280 kilometer pergi dan balik dari Perlis ke Pulau Pinang.

Ku Hasrin dan rakan-rakanya itu memulakan cabaran tersebut pada minggu lalu dan tiba semula di negeri ini selepas tiga hari iaitu memerlukan dua hari perjalanan ke Pulau Pinang dan sehari pulang ke Perlis.

Sementara itu, Musleh berkata, pengalaman menunggang basikal dengan jarak yang jauh itu merupakan satu kepuasan yang tidak ternilai selain mampu mencabar diri serta kekuatan fizikal.

“Perancangan kami selepas ini adalah ingin menyertai jelajah ke negeri-negeri Pantai Timur pula seperti Kelantan, Pahang dan Terengganu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.