IPOH: Tiada kes pemalsuan sijil vaksinasi Covid-19 dikesan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama memantau dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pemalsuan sijil vaksinasi di negeri ini.
“Tiada kompromi kepada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pemalsuan sijil vaksinasi di negeri ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas penyerahan sumbangan alat bantuan pernafasan daripada Bandar Raya Nanning, China melalui Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Akmal berkata, rakyat negeri ini memberikan sambutan baik untuk dos penggalak Covid-19.
“Setakat ini seramai 527,964 orang sudah menerima dos penggalak di negeri ini,” katanya.
Mengenai sumbangan alat bantuan pernafasan hari ini, Mohd Akmal berkata, dua unit alat itu dianggarkan bernilai RM136,000.
Menurutnya, sumbangan diharapkan dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa.
“Peralatan ini diterima pada 17 Disember lalu dan ia akan digunakan di hospital ini.
“Sumbangam dua unit alat bantuan pernafasan ini tepat pada masanya untuk membantu perkhidmatan kesihatan khususnya di HRPB ketika wabak Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE










