KUALA SELANGOR: Musibah yang menimpa negara ini seperti wabak Covid-19 dan banjir baru-baru ini menyebabkan sebilangan penganut Hindu sanggup datang dari jauh untuk pergi ke kuil di sekitar daerah ini membawa hajat dijauhkan daripada bencana.
Tidak boleh ke Batu Caves, mereka datang ke Kuil Sri Subramaniar Swamy, Kampung Baharu dan Kuil Sri Shakti Dhevasthanam, Bukit Rotan di sini bagi bernazar dan sembahyang sempena perayaan Thaipusam.
Bukan setakat peluang untuk menebus dosa, malah sambutan perayaan itu dianggap signifikan untuk masyarakat India di negara ini yang meminta supaya negara diberikan kesejahteraan dan dihindari daripada wabak penyakit.
Rata-rata mereka tidak mahu melepaskan peluang kerana menganggap sambutan pada kali ini amat penting berikutan terlepas peluang pada tahun lepas akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut, R. Elango, 50, dari Rawang yang mengunjungi Kuil Sri Shakti Dhevasthanam di Bukit Rotan di sini memberitahu, dia bersyukur akhirnya dapat menyambut Pongal dan Thaipusam pada tahun ini.
“Sebelum datang ke kuil ini, saya sekeluarga pergi ke Kuil Sri Subramaniar Swamy di Kampung Baharu. Walaupun dari jauh, ini adalah peluang untuk membawa hajat supaya dunia terus diberikan keamanan dan segala kesusahan termasuk wabak pandemik ini diangkat.
“Walaupun tidak sambut secara besar-besaran, tetapi yakin itulah hajat paling besar kebanyakan penganut Hindu selepas pelbagai musibah dan dugaan dihadapi mereka dan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, K. Sujatha, 45, juga tidak melepaskan peluang untuk datang bersama keluarga di kedua-dua kuil di Kampung Baharu dan Bukit Rotan selepas kerajaan tidak membenarkan pengunjung di bawah 18 tahun masuk ke kuil di Batu Caves.
“Agak terkejut juga bila diberitahu tak dapat masuk, sebab Batu Caves antara kuil tumpuan ketika Thaipusam selain di Ipoh dan Pulau Pinang, tetapi bersyukur anak-anak dibenarkan masuk di sini.
“Memang saya anggap sambutan ini penting, kerana selain tuntutan agama, ini juga merupakan peluang kepada kami untuk menyatakan hajat memandangkan terlalu banyak dugaan dihadapi pada tahun ini. Semoga keluarga kami dan rakyat Malaysia sentiasa diberikan kesejahteraan,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang sami di Kuil Sri Shakti Dhevasthanam, P. Thiagarajan, 65, memberitahu beliau melihat ramai orang memenuhi kuil sejak awal pagi tadi tidak melepaskan peluang menyambut perayaan Thaipusam.
“Tahun lepas mereka tak boleh sambut dan tak boleh datang ke kuil pun. Kali ini mereka datang, memang masing-masing datang membawa hajat mereka dan saya pun faham musibah yang mereka alami.
“Negara kita ditimpa musibah dengan penularan wabak Covid-19, baru-baru ini pula berlaku bencana banjir dan Selangor juga menjadi negeri yang terjejas teruk akibat banjir, jadi tak hairanlah kenapa ada yang sanggup datang dari jauh untuk pergi ke kuil di sini,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun ramai yang datang, kesemua pengunjung dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, malah jika mereka gagal memakai pelitup muka dan sebagainya tidak dibenarkan masuk ke kuil. – UTUSAN










