KOTA KINABALU: Melihat keseronokan bapanya berlatih bersama pasukan tarian singa mendorong Bryan Chee menyertai tarian singa atau naga buat kali pertama semasa berusia lima tahun.
Bryan yang kini berusia lapan tahun berkata, dia berasa teruja apabila boleh menyertai persembahan tarian singa semula selepas dua tahun berehat susulan pandemik Covid-19.
Katanya, sepanjang tempoh dua tahun ini, dia banyak melihat dan belajar mengenai tarian singa menerusi laman youtube kerana tiada latihan diadakan sepanjang tempoh tersebut.
“Saya gembira kerana boleh bermain tarian singa semula. Saya memang minat dengan tarian singa, saya banyak melihat pertunjukan tarian singa melalui youtube,” katanya semasa acara pembukaan mata singa dan naga bagi Persatuan Wei Wu Sabah baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Datuk Dexter Lau.
Sementara itu, bapanya, Stanley Chee, 39, yang merupakan Pengurus Kumpulan Tarian Singa Yi Fung berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu memang berminat dengan tarian singa sejak daripada kecil.
“Minatnya itu memberi keyakinan kepada saya untuk membawa dia menyertai pasukan kami. Saya rasa penting untuk memastikan generasi muda menyambung tradisi tarian singa ini.
“Saya ada ajar dia asas tarian singa atau tarian naga dan selebihnya dia belajar melalui youtube,” katanya.
Katanya, Bryan berperanan sebagai pengendali bulan dalam tarian naga dan peranan penting bagi menentukan arah kepala singa semasa persembahan, dan jika bulan menghilang semasa tarian maka, naga akan tercari-cari kedudukannya.
“Itu antara sebab Bryan ikut serta dalam latihan berkumpulan untuk memberi pemahaman kepadanya mengenai peranannya sebagai pengendali bulan. Biarpun ada kalanya, dia letih ketika berlatih namun, dia tetap meneruskan latihan bersama dengan ahli-ahli pasukan yang lain.
“Kami berlatih pada waktu malam iaitu dari 7 hingga 10 malam. Jadi, sesi persekolahan ahli-ahli yang masih bersekolah tidak terganggu,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, selepas berehat selama dua tahun mereka tidak menaikkan kadar bayaran persembahan tarian singa atau tarian naga.
Pada masa ini, kadar yang dikenakan kepada pelanggan antara RM388 hingga RM1,388 bergantung kepada permintaan pelanggan. – UTUSAN