ALOR SETAR: Aksi derbi Kedah dalam Liga A1 Semi-Pro menyaksikan Kedah FA (KFA) tidak berdepan masalah untuk mengalahkan Kedah Darul Aman (KDA) FC, 1-0 dalam perlawanan di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Pertemuan sulung kedua-dua pasukan dari Kedah dalam liga berkenaan berlangsung dalam keadaan padang yang sedikit basah ekoran hujan sejak awal permainan.
KFA yang berada di tangga kelima liga dilihat lebih menguasai permainan apatah lagi diperkuatkan tiga import iaitu Abubakar Yakubu; Pape Abdoulaye Diakite dan Adam Azeez Arisekola.
Namun, skuad Lang Merah selaku tuan rumah gagal merobek jaring lawan sepanjang 45 minit separuh masa pertama meskipun beberapa peluang keemasan terhidang.
Hanya ketika tambahan masa tiga minit diberikan sebelum menuju ke bilik persalinan, Adam Azeez yang berasal dari Nigeria berjaya menanduk masuk hantaran lintang Rahmat Makasuf untuk KFA mendahului 1-0.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan gagal mencetak sebarang jaringan dengan gol tunggal skuad kendalian Victor Andrag kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.
Kemenangan tiga mata di laman sendiri menyaksikan KFA melonjak ke tangga kedua liga, sementara KDA terus kekal di carta kedua dari bawah setelah kekalahan keenam berturut-turut dalam tujuh perlawanan diharungi.
Anak-anak buah Azzmi Aziz perlu bekerja keras untuk membaiki kedudukan setelah hanya memperoleh tiga mata dalam kemenangan pada aksi pembukaan menentang Machan FC, bulan lalu. – UTUSAN










