Terence dakwa dihidang minuman aneh sebelum ditahan - Utusan Malaysia

Terence dakwa dihidang minuman aneh sebelum ditahan

TERENCE NAIDU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu mendakwa dihidangkan minuman ‘aneh’ sebelum ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang kelmarin kerana disyaki positif dadah. 

ADUN DAP itu berkata, dalam kenyataan beramaran beliau kepada polis, beliau menyatakan sebelum ditahan, beliau diundang bertemu kawan-kawan yang juga klien untuk perjumpaan dan makan sempena Tahun Baharu Cina di Pulau Pinang.

Menurutnya, apabila tiba di Perai, beliau dibawa ke lokasi yang mana beliau kemudian ditahan.

Katanya, beliau teragak-agak untuk masuk ke premis terbabit, namun akhirnya masuk.

“Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang. Saya terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif, kerana saya ini merokok pun tidak.

“Saya dihidangkan minuman yang ‘aneh’,  saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit.

“Keesokkan harinya saya dimaklumkan bahawa ketika saya ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan mengisi gelas minuman saya,” katanya dalam kenyataan dalam Facebook beliau hari ini.

Menurutnya, ekoran insiden itu, semalam sebaik sahaja dibebaskan daripada ditahan polis, beliau telah membuat laporan polis menyatakan beliau terdedah kepada anasir yang mencurigakan.

Terence berkata, beliau juga telah menamakan saksi kejadian tersebut.

“Saksi tersebut telahpun memberi kenyataan kepada polis dan mengesahkan apa yang dia lihat. Berikutan dengan ini, saya telah memohon pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai kenyataan beramaran saya kepada pihak polis dan membuat kesimpulan mereka sendiri.

“Saya akan mempertahan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah,” katanya.

Menurutnya, setelah begitu lama terlibat dalam dunia politik dan setelah dua penggal dilantik sebagai ADUN, beliau amat menyedari tanggungjawab seorang wakil rakyat dan salah satunya untuk mematuhi undang-undang. 

“Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan malah perlu nampak sebagai terlaksana. Itulah pendirian saya selama ini.

“Saya faham kekecewaan mereka di sekeliling saya yang berpunca daripada insiden terbaru ini yang mana saya dilaporkan ditahan kerana didapati positif dadah.

“Tiada apa yang berubah dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap pengundi  saya serta tetap berpendirian bahawa dadah adalah permasalahan sosial dan akan terus berjuang menentangnya,” katanya.

Terence berterima kasih kepada kepemimpinan parti atas sokongan dan kepercayaan mereka kepadanya.

Mengenai pendirian DAP Perak yang menuntut penjelasan, Terence berkata, beliau akan mematuhinya.

“Sebagai Adun yang bertanggungjawab dan dilantik di bawah bendera parti, saya juga bersedia untuk melindunginya daripada sebarang masalah dan bersedia untuk  digantung keahlian, supaya pihak parti tidak terheret sama dalam kes ini.

“Buat para penyokong yang mengenali saya secara peribadi, terutamanya penduduk Pasir Bedamar, saya dengan rendah hati memohon maaf kerana meletakkan diri dalam posisi yang berbahaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya