PETALING JAYA: Pihak yang rakus membalak sehingga menyebabkan bencana dan menjejaskan serta mengorbankan nyawa manusia bakal menerima balasan Allah SWT.
Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, terdapat hadis yang memberikan amaran kepada sesiapa yang menebang pokok bidara, yang menjadi teduhan orang dan binatang di tanah lapang bahawa Allah akan merendahkan atau merendam kepalanya ke dalam neraka di akhirat kelak.
Katanya, hadis tersebut ini secara jelas menunjukkan perbuatan tersebut termasuk dalam dosa besar.
“Para ulama dahulu berbincang tentang maksud hadis ini. Ada yang kehairanan mengapa pula diharamkan memotong pokok bidara? Ada yang berpendapat ia khas untuk Mekah. Ada yang berpendapat hukum ini telah dimansuhkan. Namun, jawapan al-Imam Abu Daud itu memberikan makna yang dapat difahami tentang maksud hadis ini. Ia berkaitan mereka yang memusnah tempat berehat atau berteduh para musafir atau haiwan. Keadaan panas mendesak manusia dan haiwan mencari perlindungan. Pokok dan pohon yang rendang memayungi manusia dan haiwan dari kepanasan.
“Maka, sesiapa yang memusnahkan tempat perlindungan panas manusia dan haiwan ketika sangat memerlukan tanpa alasan yang benar pastilah termasuk dalam kalangan mereka yang sangat jahat. Tidak hairan jika kepalanya direndam ke dalam neraka,” katanya dalam satu kenyataan di portal Jabatan Mufti Negeri Perlis hari ini.
Tambah Mohd. Asri, mereka yang merosakkan atau menebang pokok sehingga mendatangkan kesan kemusnahan menyifatkan ia sebagai jenayah dunia dan akhirat.
“Tanpa mengira siapapun pelakunya, sama ada golongan bawahan atau bangsawan, ahli politik atau ahli perniagaan, ke atas mereka laknat rakyat.
“Amaran Nabi SAW bahawa laknat itu akan menimpa mereka nanti. Mereka akan menemui padah itu dalam kehidupan dunia dan akhirat,” jelasnya.