Suai padan mesra bajet

Suai padan mesra bajet

Konsep suai padan aksesori dan perabot sedia ada membangkitkan suasana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rumah bukan sekadar tempat tinggal, tetapi ruang terapi untuk keluarga.

Itulah pegangan pemilik rumah teres dua tingkat ini, Nor Hasida Kamarudin,38, bersama suaminya, Mohd. Faris Mustazah yang berjaya menzahirkan impian kediaman ideal dengan pendekatan minimalis dan mesra kanak-kanak, lengkap dengan sentuhan taman dalam rumah yang menyejukkan mata.

Berkeluasan asal 1,916 kaki persegi dan kini selepas pengubahsuaian mencecah 2,200 kaki persegi, kediaman ini memilih konsep minimalis berjiwa praktikal.

Menariknya, pemilik tidak mengejar dekorasi sarat atau perabot baharu semata-mata, sebaliknya menggabungkan elemen suai padan yang memanfaatkan perabot dan perhiasan sedia ada dengan kemasan baharu yang sesuai.

“Kami lebih utamakan keselesaan dan kemudahan menjaga rumah, terutamanya kerana ada anak kecil dan bajet juga terhad.

“Kami dahulukan ubah suai yang melibatkan habuk (besarkan dapur, bumbung tempat letak kereta dan siling). Perabot kami bawa dari rumah lama kerana lebih mudah ditukar dari semasa ke semasa,” katanya kepada Seri.

TAMAN MINI DALAM RUMAH

Ruang mencuci pakaian yang dihiasi tanaman hiasan.

Dua ruang paling digemari oleh pemilik adalah taman dalam rumah dan kawasan dobi yang direka dengan begitu praktikal dan estetika.

Bumbung kaca dan atap jernih membenarkan cahaya semula jadi masuk dengan banyak, bukan sahaja menjimatkan elektrik, malah menjadikan kawasan ini ruang healing paling digemari untuk memandang langit sambil dikelilingi pokok-pokok hijau.

“Ruang cucian ini saya reka supaya ergonomik iaitu mesin basuh dan pengering disusun supaya tidak perlu membongkok serta sangat memudahkan urusan harian.

“Selain itu, kami pilih bumbung kaca supaya baju yang disidai cepat kering,” katanya.

Konsep yang dibina berpaksikan tiga prinsip utama iaitu lapang, praktikal dan terang.

Beberapa elemen penting turut diketengahkan iaitu rona cerah untuk serlahkan ruang.

Barang-barang pula disimpan dalam kabinet, terutama di dapur untuk minimalkan ruang.

Ruang tamu ditambah hanya dua armchair untuk elak kelihatan kosong, namun tetap tidak terlalu padat.

Ruang makan yang menggunakan meja lama diberi nafas baharu dengan penggunaan kerusi yang serasi dengan konsep.

Pokok-pokok hiasan pula ditanam sendiri yang bukan sekadar dekorasi tetapi terapi semula jadi!

Walaupun menggunakan bumbung kaca dan konsep terbuka, penyelenggaraan mudah kerana bumbung boleh diakses dari tingkat atas.

“Jadi, boleh bersihkan sendiri. Lagipun dengan pencahayaan dan pengudaraan yang baik, rumah tidak berbau dan senang dikemas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×