Syed Saddiq jangan politikkan banjir Johor - Utusan Malaysia

Syed Saddiq jangan politikkan banjir Johor

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menghargai dan mengalu-alukan mana-mana pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu mangsa-mangsa banjir di Johor termasuk daripada parti-parti politik di negara ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap tiada mana-mana pihak mempolitikkan bencana banjir yang berlaku di negeri ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah cuba melaksanakan yang terbaik dalam membantu mangsa-mangsa banjir ketika ini.

“Mempelajari pengalaman berdepan banjir sebelum ini dan juga situasi di Selangor dan Pahang sejak Disember lalu, Johor telah cuba melaksanakan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat.

“Kerabat Diraja Johor, agensi-agensi kerajaan pusat dan negeri, pejabat daerah, NGO dan orang perseorangan menggembleng tenaga dalam menangani bencana banjir dan terus membantu rakyat Johor hingga ke hari ini.

“Sebab itu, saya mengutuk sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang ingin menangguk di air yang keruh, mencuba untuk meruntuh dan menghakis integriti pihak polis dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkenaan laporan polis terhadap Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang tidak mengikut prosedur penyelarasan dan keselamatan ditetapkan ketika menghulur bantuan kepada mangsa.

Terdahulu, Syed Saddiq mendakwa enam sukarelawan parti itu disiasat polis kerana telah menyampaikan bantuan banjir secara terus kepada pemohon dan tidak meletakkan bantuan itu ke tempat yang dikhususkan.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, pihaknya percaya polis tidak berniat melayan mana-mana sukarelawan sebagai penjenayah pada ketika ribuan sukarelawan lain yang sudah berkhidmat di Johor tidak menghadapi masalah.

“Namun begitu, apabila terdapat laporan polis terhadap mana-mana pihak yang tidak mengikut prosedur, maka menjadi tanggungjawab polis untuk membuka kertas siasatan. Tiada siapa terkecuali dari undang-undang termasuk Syed Saddiq dan parti Muda.

“Saya sarankan supaya Syed Saddiq yang baru sahaja turun ke Johor semalam supaya berhenti mengkambinghitamkan pihak polis,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN