Syed Saddiq dinasihat berhati-hati komen kesnya di laman sosial - Utusan Malaysia

Syed Saddiq dinasihat berhati-hati komen kesnya di laman sosial

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi sebutan kes berkaitan empat pertuduhan yang dihadapinya. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyarankan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang komen di laman sosial berkaitan pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan harta yang dihadapinya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan ketika menyatakan demikian turut menasihati Ahli Parlimen Muar itu agar membezakan kedudukannya selaku ahli politik dan tertuduh yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Jelas hakim berkenaan, meskipun beliau memahami keadaan sukar yang dilalui oleh bekas Menteri Belia dan Sukan itu, tertuduh perlu membezakan statusnya ketika memberi kenyataan dalam laman sosial.

Perkara tersebut disuarakan oleh pihak pendakwaan ketika prosiding sebutan kali pertama terhadap Ahli Parlimen Muar itu selepas kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin membangkitkan isu berhubung beberapa komen yang dibuat oleh Syed Saddiq dalam laman Facebook yang menyentuh pertuduhan yang sedang dihadapinya.

Pihak pendakwaan selanjutnya menarik perhatian mahkamah bahawa sebarang komen dan hantaran yang dibuat dalam laman sosial boleh digunakan terhadap dirinya di mahkamah.

“Ini bukan perintah larangan (gag order), namun sebagai orang yang lebih matang daripada tertuduh, saya menasihatkannya bahawa sebarang komen di laman sosial seolah-olah pembelaan awal dan boleh digunakan terhadap dirinya,” jelas Wan Shaharuddin.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakilinya menjelaskan, komen tersebut dikeluarkan ketika menjawab soalan orang awam berhubung perjalanan kes.

“Anak guam saya perlu diberi ruang yang fleksibel untuk menjawab persoalan masyarakat yang ingin mengetahui pertuduhan berulang yang dihadapinya,” katanya sambil menyatakan pihaknya mengambil maklum isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan.

Hakim Mohamed Zaini kemudian menyatakan, sebagai peguam bela, beliau (Gobind) merupakan pihak yang terbaik untuk menasihati anak guamnya dari semasa ke semasa.

Pada prosiding tersebut, beliau menetapkan keempat-empat pertuduhan terhadap Syed Saddiq, 29, dibicarakan secara bersama bermula 7 Jun ini.

Mahkamah menetapkan perbicaraan didengar selama 22 hari iaitu pada 7 hingga 10 Jun, 20 hingga 22 Jun, 27 dan 28 Jun serta 4 hingga 8 Julai, 13 hingga 15 Julai dan 18 hingga 22 Julai ini.

Pada 25 November 2021, Hakim Mohamed Zaini membenarkan permohonan Syed Saddiq agar perbicaraan kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi atas alasan kemungkinan timbul persoalan Perlembagaan dalam kes itu.

Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh juga didakwa atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan mengeluarkan wang RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa menyalahgunakan harta iaitu wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya