PUTRAJAYA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan menagih bantuan sukarelawan bagi membantu proses melupuskan al-Quran lusuh di Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Kuala Lumpur.
Pengarahnya Ummi Kalthum Shuib berkata, ketika ini al-Quran lusuh yang berjaya dikumpulkan di pusat berkenaan semakin meningkat dan kini sudah mencecah seberat 25 tan.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan, proses pelupusan berkenaan dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya akhir bulan ini.
“Hari ini kami melawat semula pusat pelupusan ini bagi melihat proses pengasingan dan pelupusan al-Quran yang dianggarkan seberat 25 tan. Dengan jumlah tersebut, pusat berkenaan dijangka memerlukan masa lebih lama untuk membuat pelupusan.
“Ini kerana, dokumen yang mengandungi ayat al-Quran perlu diasingkan sebelum dilupuskan bersama al-Quran atau dikitar semula. Malah, pembakaran juga dibuat berfasa kerana kebanyakan al-Quran perlu dikeringkan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ummi Kalthum berkata, beliau difahamkan, seramai 84 sukarelawan sudah digerakkan untuk membantu pusat pelupusan itu termasuk 35 sukarelawan SWCorp sendiri.
“Mana-mana yang berminat untuk menjadi sukarelawan di pusat pelupusan ini boleh hubungi Muhammad Fahmi Hashim di talian 012-3745935,” katanya.
Selepas banjir berlaku di beberapa negeri baru-baru ini, SWCorp Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif untuk membantu mengutip dan mengambil al-Quran dan dokumen yang mengandungi ayat Al Quran untuk dilupuskan dengan kolaborasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta masjid dan surau di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. -UTUSAN ONLINE










