PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyalurkan subsidi tambahan berjumlah RM62 juta kepada pesawah bagi membantu mereka memulakan tanaman padi musim pertama tahun ini.
Menterinya, Datuk Dr. Seri Ronald Kiandee berkata, lebih 300,000 pesawah terjejas akibat kenaikan harga racun dan peruntukan tambahan itu dijangka memberi manfaat kepada mereka yang mengerjakan 620,000 hektar padi di seluruh negara.
Melalui peruntukan itu kata beliau, para pesawah yang menerima bantuan subsidi racun RM200 untuk sehektar padi sebelum ini bakal menikmati tambahan RM100 lagi subsidi racun.
“Sehubungan itu, bantuan subsidi racun kini menjadi RM300 untuk sehektar padi yang diusahakan. Ini hanya untuk pembelian racun sahaja manakala subsidi baja untuk padi masih lagi diteruskan.
“MAFI sentiasa mencari kaedah membantu pesawah ketika harga input pertanian global naik mendadak,” katanya dalam sidang akhbar selepas Melancarkan Logo Sambutan 50 Tahun Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) 1972- 2022 di Ladang Merdeka Jelor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri,Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail dan Pengerusi KADA, Datuk Kamaruddin Md. Nor.
Menurut Ronald, lonjakan harga racun dan baja mungkin menjejaskan sektor pertanian lain namun bagi pesawah, nasib mereka terbela kerana padi adalah komoditi pengeluaran penting yang sentiasa dijaga kerajaan.-UTUSAN ONLINE