Suami isteri ditahan bersama sepucuk pistol dalam serbuan dadah - Utusan Malaysia

Suami isteri ditahan bersama sepucuk pistol dalam serbuan dadah

MIOR Faridalathrash Wahid (tengah) menunjukkan senjata api yang dirampas dalam Op Tapis Khas pada sidang akhbar di IPK Perak, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 496 individu termasuk pasangan suami isteri disyaki pengedar dadah ditahan dalam serbuan Op Tapis Khas Kontinjen Perak sejak Jumaat lalu hingga semalam.

Pasangan suami isteri berusia 30-an itu diberkas bersama sepucuk pistol jenis Revolver .38 dan tiga butir peluru hidup di sebuah rumah di Mambang Di Awan dekat Kampar pada Jumaat lalu.

Pasangan terbabit direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam serbuan sepanjang tiga hari itu, seramai 489 lelaki dan tujuh wanita berusia 18 hingga 71 tahun ditahan selepas 32 sarang penagihan dadah digempur polis.

Katanya, daripada jumlah itu, 16 orang merupakan warga asing dari Vietnam, Thailand dan Myanmar.

“Daripada keseluruhan tangkapan, 84 individu ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 122 orang bagi kesalahan memiliki dadah dan 254 penagih dadah.

“Dalam operasi sama, 36 individu ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 manakala 15 individu dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, serbuan melibatkan 324 pegawai dan anggota yang dijalankan serentak di seluruh negeri juga berjaya menahan 120 tokan dadah.

Beliau memberitahu, dalam operasi itu, seramai 50 penagih dadah tegar dikenal pasti dan tindakan diambil mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan.

“Kita merampas lebih 1.1 kilogram dadah termasuk heroin, syabu dan ganja selain 25 bijil pil erimin 5 serta ekstasi. Turut dirampas 81.73 liter air ketum dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM67,795.60.

“Selain itu, polis turut menyita dua kereta, sembilan motosikal dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM97,082,” katanya.

Tambah beliau, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan memperhebatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penagihan dadah di negeri ini dengan kerjasama erat masyarakat dan agensi penguatkuasaan lain.

“Serbuan yang kita lakukan di 32 sarang penagih dadah yang telah dikenalpasti itu merupakan usaha melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya