PETALING JAYA: Seorang pengarah di sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu kepada sebuah kementerian di Putrajaya.
Penahanan suspek wanita berusia 47 tahun itu dilakukan di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira pukul 2 petang tadi selepas hadir memberi keterangan.
Satu sumber memberitahu, suspek dipercayai mengemukakan dokumen bagi urusan proses tuntutan pembayaran balik subsidi minyak masak sawit tulen berjumlah lebih RM25,000.
“Difahamkan, suspek mengemukakan dokumen palsu berbentuk invois dengan menggunakan nama syarikat lain kepada kementerian terbabit bagi proses tuntutan berkenaan sepanjang tahun 2019,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE